BEIJING: Kombinasi pelik bancuhan kopi bersama daun bawang atau dikenali sebagai ‘scallion latte’ kini menjadi kegilaan di China dan trendnya juga semakin popular di negara jiran, Indonesia.
Minuman itu mula tular bulan lalu apabila beberapa penerbitan Asia membuat liputan yang dianggapnya sebagai salah satu kombinasi paling pelik pernah dicuba.
Puluhan foto dan video dengan hashtag #springonionlatte di TikTok atau Instagram membuktikan minuman itu sudah mula mendapat tempat dalam kalangan warganet.
Seperti namanya, kopi ini disajikan bersama racikan daun bawang segar di bahagian atas yang memberi sentuhan rasa berbeza buat pencinta kopi.
Tidak dapat dipastikan dengan tepat bagaimana atau di mana latte daun bawang ini dicipta, tetapi beberapa kebelakangan ini ramuan ‘gila’ itu nampaknya disajikan oleh kedai kopi sehingga menarik perhatian warganet.
Ia adalah tambahan terbaharu kepada senarai kombinasi pelik yang semakin berkembang dan umumnya dikenali sebagai ‘masakan gelap’ atau ‘hei an liao li’ di China.
Masakan gelap pada asasnya merujuk kepada makanan dan minuman yang menguji kepekaan deria rasa orang ramai.
Selain ‘spring onion latte’, ‘latte ais pedas’ yang diletakkan cili turut menjadi salah satu contoh masakan gelap di China beberapa bulan lalu.
Pelbagai reaksi diterima terhadap minuman kopi daun bawang, memandangkan ia adalah satu gabungan aneh.
Sesetengah mereka mengatakan tidak pernah terfikir suatu hari nanti wujud kombinasi minuman sebegini, manakala ada juga yang tertarik dengan campuran unik ini, namun bimbang menyebabkan kepada nafas berbau.- AGENSI










