Kes mpox di Afrika meningkat - WHO

Kes mpox di Afrika meningkat – WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penyakit mpox atau dahulu dikenali sebagai cacar monyet semakin meningkat di Afrika.

Ketua Teknikal WHO untuk Penyakit Berjangkit, Rosamund Lewis berkata, lebih 3,100 kes yang disahkan makmal direkod di seluruh dunia sejak awal tahun ini, manakala kira-kira 600 kes dari 26 negara dilaporkan kepada agensi itu setakat Mei.

Beliau berkata, kes jangkitan semakin meningkat di Afrika dan memberi amaran bahawa negara itu kini menjadi wilayah utama kes mpox, menggantikan Amerika.

Bercakap pada taklimat media PBB di Geneva semalam, Lewis menggesa supaya siasatan dipergiatkan untuk mengenal pasti punca utama.

“Hari ini, mpox kekal sebagai ancaman kesihatan awam kerana situasinya terus menular,” katanya.

Sejak April, Afrika Selatan melaporkan 13 kes mpox yang disahkan akibat virus clade Ilb – varian mpox – dengan dua kematian.

Pada masa sama, Republik Demokratik Congo terus menghadapi wabak besar penyakit mpox yang disebabkan oleh virus tersebut, dengan 9,291 kes dikenal pasti secara klinikal dan 419 kematian yang dilaporkan setakat tahun ini, nisbah kematian yang tinggi hampir mencapai lima peratus.

Menurut petunjuk teknikal, kanak-kanak antara yang paling terjejas dalam wabak ini dengan ‘kadar kematian yang lebih tinggi’.

“Walaupun virus klade I setakat ini terdapat di Afrika Tengah, potensi penyebarannya ke negara jiran dan kawasan lain tetap menjadi kebimbangan.

“Ditambah dengan imuniti yang terhad di seluruh dunia, masih terdapat risiko penularan wabak meluas dan mewujudkan ancaman kesihatan awam yang signifikan,” kata Lewis.

Beliau berkata, individu yang mempunyai jangkitan HIV berisiko lebih besar untuk mengalami simptom serius dan kematian akibat mpox.

“Terdapat keperluan penting untuk menangani peningkatan kes mpox di Afrika,” katanya.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN