Kereta Honda Stream dinaiki empat sekeluarga terbakar menjelang Aidiladha - Utusan Malaysia

Kereta Honda Stream dinaiki empat sekeluarga terbakar menjelang Aidiladha

KEADAAN kereta Honda Stream yang tiba-tiba terbakar di Simpang masuk ke Felda Jengka 10 di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Empat sekeluarga berdepan detik cemas menjelang Hari Raya Aidiladha esok apabila kereta Honda Stream dinaiki tiba-tiba meletuskan bunyi letupan sebelum terbakar di simpang masuk Felda Jengka 11 dan Jengka 10 di sini hari ini.

Pemilik kenderaan, Nor Shahira Burhanuddin, 30, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2.50 petang tersebut, dia bersama bapa mertua, Shahrum Johari, 55, ibu mertua, Napsiah Nayan, 56, dan juga anak perempuannya yang berusia lima tahun dalam perjalanan dari Felda Mempaga 1 ke Felda Sungai Tekam Getah, Jerantut.

Menurutnya, kejadian malang tersebut menyebabkan kereta berkenaan yang dipandu bapa mertuanya musnah lebih 90 peratus.

“Kejadian begitu pantas menyebabkannya kami terkejut dan panik namun sempat mengeluarkan beg pakaian dan dokumen penting dengan bantuan orang awam.

“Ketika terdengar letupan dari enjin kami melihat asap mula keluar. Bapa mertua menghentikan kereta di tepi jalan dan kami bergegas keluar. Orang ramai membantu mengeluarkan beg pakaian kami,” katanya di sini hari ini.

Nor Shahira berkata, ketika kejadian dia terkejut, menggeletar dan panik namun dalam hatinya masih berharap kereta yang menjadi keperluan keluarga tidak terbakar teruk.

“Saya bersyukur dalam keadaan kelam kabut ada orang awam membantu dan menelefon Balai Bomba dan Penyelamat Jengka. Saya juga bersyukur tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku. Harta boleh dicari lagi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jengka, Mohd. Tarmizi Isa berkata, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut sedang marak terbakar.

“Kita mengambil masa 10 minit untuk memadamkan kebakaran. Punca kebakaran sedang disiasat pihak forensik,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik termasuk sistem pendawaian sebelum memulakan perjalanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN