SEREMBAN: Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca ratusan ikan kecil jenis tilapia yang mati di Sungai Batang Nilai di sini selepas aduan diterima, semalam.
Timbalan Pengarah JAS negeri, Mohd. Yunos Rais berkata, setakat ini punca sebenar kejadian tidak diketahui meskipun siasatan dan pemeriksaan lanjut di lapangan dilakukan pagi tadi.
“Sebanyak tiga lokasi dibuat siasatan dan pemeriksaan iaitu melibatkan Pekan Nilai, Kampung Stesyen dan Jalan Stesyen 2.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati bacaan pH, oksigen terlarut (DO) dan pepejal terampai (TSS) adalah pada julat 7.21, 7.24 dan 115.8mg/L. Pemeriksaan setempat atau menggunakan alat YSI di tiga lokasi secara keseluruhan mendapati bacaan normal iaitu tujuh, “katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dijalankan, aras air sungai berada dalam keadaan tinggi dan arus kuat akibat hujan lebat di awal pagi.
Katanya, terdapat kerja-kerja pemasangan sistem pembetung di Kampung Stesyen yang berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan bacaan TSS.
“Kerja-kerja pemasangan tersebut telah dijalankan sejak pagi semalam dan bersambung ke hari ini. Pegawai JAS turut menyusuri hulu Sungai Batang Nilai bagi mencari punca-punca lain yang berpotensi melakukan pencemaran khususnya yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
“Sewaktu pemeriksaan dijalankan, tiada ikan mati ditemui. Aduan turut dipanjangkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan,”katanya lagi.-UTUSAN.










