Konsert, usia suami faktor Shila Amzah mahu turun berat badan - Utusan Malaysia

Konsert, usia suami faktor Shila Amzah mahu turun berat badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Penyanyi, Shila Amzah mengakui dirinya giat menurunkan berat badan kerana mahu mengekalkan stamina menjelang konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama yang bakal berlangsung pada 15 Ogos ini.

Kata Shila, selain perlu memastikan kualiti vokal berada ditahap yang baik, dua mahu membuat persiapan secara fizikal dengan rapi memandangkan dirinya bakal menyampaikan sebanyak 40 buah lagu pada malam konsert itu nanti.

“Saya turunkan berat badan demi konsert kerana akan menyampaikan 40 buah lagu. Saya perlu pastikan stamina dan fizikal saya berada di tahap yang terbaik.

“Dengan berat badan sebelum ini, agak sukar untuk saya mengekalkan stamina dan vokal sepanjang membuat persembahan,” katanya.

Berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg), Shila bagaimanapun menafikan dia menjalani pembedahan usus atau bariatrik, sebaliknya hanya mengamalkan cara pemakanan yang sihat.

“Saya memang diet bersungguh-sungguh. Latihan fizikal yang saya jalani sekarang ini pun sudah seperti atlet. Apa yang pasti, saya tidak potong usus. Pada usia melebihi 30 tahun ini, banyak perkara yang harus kita beri perhatian.

“Selain menjaga pemakanan, saya turut mengamalkan pengambilan suplemen. Sekarang berat saya sudah 64kg, saya sasarkan untuk 60 kg.
Rangka badan saya besar, kalau turun lima kilogram pun sudah ketara perbezaannya,” jelasnya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Memori Tercipta itu mengakui dorongan suaminya, Ubai Amir turut menjadi pemangkin semangat untuk dirinya terus mengamalkan gaya hidup sihat.

“Jarak usia suami saya lapan tahun lebih muda berbanding saya. Takkanlah saya mahu kelihatan cepat tua. Jadi, inilah cara untuk saya nampak lebih muda.

“Dia juga selalu ajak saya berbasikal. Kononnya hanya mahu berbasikal lima kilometer (km) sahaja, tetapi selalunya dalam tidak sedar sudah 15 hingga 20 (km),” ujarnya.

Sempena tahun ke-25 dalam industri muzik, Shila bakal mengadakan konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama di Arena of Stars, Genting Highland.

Konsert itu juga bakal dimeriahkan oleh lima penyanyi tanah air iaitu Hael Husaini, Mimi Fly, Kidd Santhe, Balan Krishnan dan DJ Fuzz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN