Pilihlah wakil rakyat yang bermaruah - Anwar

Pilihlah wakil rakyat yang bermaruah – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rakyat diingatkan supaya membuat pilihan yang tepat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan memilih wakil rakyat yang mempunyai maruah dan bukan berdasarkan janji untuk menjaga kaum tertentu sahaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tidak seharusnya hanya melihat kepada janji-janji politik yang menyentuh soal kaum, sebaliknya perlu menilai pemimpin yang benar-benar menjaga kepentingan rakyat.

“Sebab itu bila kita pilih wakil rakyat, pilih parti. Oh tak ada, dia janji begitu. Nak jaga Melayu lah, nak jaga Cina, nak jaga India. Akhirnya jaga dia.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan ambil keputusan yang baik. Jangan pandang ringan,” katanya berucap pada majlis Minum Santai bersama warga Ampangan di Medan Selera Ampangan, Seremban hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pengalaman beliau dalam politik menunjukkan rakyat perlu memilih pemimpin yang baik tanpa mengira latar belakang kaum.

Katanya, pemimpin yang dipilih perlu mempunyai nilai dan mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada rakyat.

“Saya pun orang lama lah. Orang kata naik turun, lebih banyak turun daripada naik. Sekarang ini naik sikit. Dulu asyik turun je.

“Tapi pengalaman saya, ada ramai (pemimpin) orang Melayu yang baik, ada ramai orang India yang baik, ada ramai orang China yang baik, yang ada maruah. Pilih mereka. Insya-Allah masa depan kita lebih selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN