Ibu maut dipercayai dibunuh anak sakit mental - Utusan Malaysia

Ibu maut dipercayai dibunuh anak sakit mental

KAWASAN kejadian seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anaknya yang mengalami masalah mental dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bahau, Jempol, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Bahau, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 11.55 pagi membabitkan pergaduhan anak dengan ibu sehingga menyebabkan kematian.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati si mati berusia 63 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai di hadapan halaman rumah.

“Suspek dalam kejadian ini adalah anak pertama kepada si mati iaitu lelaki berusia 33 tahun dan merupakan seorang pemegang kad OKU mental.

“Suspek ditangkap di kediaman berkenaan dan kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sehingga mati,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ujar Chang Hook lagi, permohonan reman akan dilakukan ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah esok di Mahkamah Majistret Bahau di sini

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan esok di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS)  bagi mengetahui sebab-sebab kematian.

Sementara itu, jiran si mati yang tidak mahu dikenali berkata, kejadian berlaku itu memang mengejutkan penduduk di situ.

“Saya langsung tidak menyangkakan kejadian ini akan berlaku, tiba-tiba sahaja polis sudah ramai di hadapan rumah itu,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×