Hari Taman Putrajaya 2024 tampilkan suasana desa di tengah bandar - Utusan Malaysia

Hari Taman Putrajaya 2024 tampilkan suasana desa di tengah bandar

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat kanak-kanak yang menyertai aktiviti menangkap ikan belut pada Putrajaya Park's Day 2024 (PPD 2024) di Taman Warisan Pertanian, Putrajaya di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hari Taman Putrajaya 2024 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok di Taman Warisan Pertanian, Presint 16 di sini mengetengahkan suasana desa di tengah bandar bagi menggamit kehadiran pengunjung.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, Taman Warisan Pertanian dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini berikutan keunikan dusun dalam bandar yang ditawarkan dengan berkonsepkan ‘agro tourism’.

Menurutnya, bertemakan ‘Mengimbau Zaman Dulu-Dulu’, Hari Taman Putrajaya menyediakan pelbagai program kepada pengunjung antaranya permainan tradisional, menangkap belut di sawah, menanam padi, demonstrasi menoreh dan memproses getah, mengacau dodol serta aktiviti mengail ikan menggunakan buluh.

“Program anjuran PPj ini bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan kepelbagaian 12 buah taman awam yang terdapat di Putrajaya, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Kita juga ingin dedahkan kepada orang ramai mengenai keperluan mewujudkan taman di kawasan-kawasan kediaman di bandar dan dalam masa sama dapat memberi hasil kepada penduduk untuk dinikmati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hari Taman Putrajaya 2024 yang oleh disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Fadlun berkata, Taman Warisan Pertanian merupakan lokasi ketiga yang dipilih sejak penganjuran kali pertama Hari Taman Putrajaya di Taman Wetland pada 2019, diikuti Taman Wawasan pada 2020.

Jelasnya, pada penganjuran kali ini, PPj mendapat kerjasama daripada rakan strategik iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Red Adventure Sdn Bhd dan Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×