Harga bahan binaan naik: Kontraktor berisiko gulung tikar

Harga bahan binaan naik: Kontraktor berisiko gulung tikar

NORHAYATI Hashim (tengah) bersama jawatankuasa PKBM Perlis di pejabat PKBM Perlis di Jalan Bangsal Lebah, Kuala Perlis.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 2,000 kontraktor bumiputera di negeri ini berisiko gulung tikar dan mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan apabila terpaksa menanggung kesan kenaikan harga bahan binaan sehingga 30 peratus susulan pelarasan subsidi diesel.

Antara bahan binaan didapati meningkat seperti simen sekampit daripada RM23 kepada RM28, pasir satu lori daripada RM800 kepada RM1,200 selain sewaan pengangkutan juga menunjukkan peningkatan 30 peratus dengan sebagai contoh jentera berat seperti backhoe daripada RM400 ke RM500 serta sewa lori tiga tan metrik daripada RM350 ke RM500.

Kenaikan tersebut ternyata memberi kesan khususnya membabitkan kontraktor kelas G1 sehingga G3 yang rata-rata projek mereka adalah dibawah nilai RM1 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, mereka yang berada dibawah Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) negeri menggesa agar pihak berkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau kenaikan harga berke­naan yang sangat membebankan golongan kontraktor.

Selain itu, dalam mendepani penyelarasan subsidi diesel tersebut, mereka juga meminta kerajaan memberi subsidi kepada pengusaha lori tipper dumper yang membawa bahan binaan termasuk kepada pengusaha jentera berat yang terlibat dalam sektor pembinaan ini.

Yang Dipertua PKBM negeri, Norhayati Hashim berkata, selain itu, mereka juga meminta agar kerajaan meneliti semula kadar perubahan nilai projek dianugerahkan dan yang sedang berjalan

Katanya, kenaikan harga bahan binaan serta sewaan pengangkutan ini sangat membebankan golongan kontraktor bumiputera ini.

“Dalam situasi seperti ini, sebagai contoh jika kontrak bernilai RM200,000, tidak dapat keuntungan langsung. Pihak terbabit juga boleh menilai semula dengan memberi kelonggaran sebagai contoh projek jalan raya satu kilometer dikurangkan kepada 800 meter bagi mengelak mereka terus mengalami kerugian.

“Apabila berlaku kenaikan diesel ini, ramai yang mengambil kesempatan menaikkan harga bahan binaan ini dan kita minta penguatkuasaan tegas dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, kadar baharu nilai sesebuah projek juga perlu diselaraskan semula dengan sebagai contoh nilai projek untuk kontraktor kelas G1 daripada bawah RM200,000 dinaikkan kepada RM300,000, G2 daripada RM500,000 dinaikkan kepada RM600,000 dan G3 daripada nilai projek RM1 juta dinaikkan kepada RM1.5 juta.

“Jika tidak, berkemungkinan 50 peratus daripada kontraktor ini berdepan risiko gulung tikar. Begitu juga dengan nasib pengusaha lori dan jentera ini.

“Trend kenaikan harga bahan binaan ini mula sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekarang keadaan semakin buruk. Situasi ini sangat memberi kesan kepada golongan kontraktor ini.

“Jika dahulu keuntungan sesebuah projek itu dalam sekitar 30 peratus, sekarang hanya tinggal 10 peratus sahaja.

“Kalau melihat trend seperti ini, golongan kontraktor ini mungkin mampu bertahan tiga bulan sahaja lagi selain terpaksa menanggung hutang yang meningkat. Diharapkan kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut selain mengetatkan penguatkuasaan bagi membendung kenaikan harga bahan binaan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini