‘Hapuskan’ kedai telefon jual kad tambah nilai judi

‘Hapuskan’ kedai telefon jual kad tambah nilai judi

SEBAHAGIAN penduduk membuat laporan polis berkait judi dalam talian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu semalam. -UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kumpulan penduduk tiga daerah di negeri ini mendesak pihak berkuasa segera ‘menghapuskan’ aktiviti jualan kad tambah nilai untuk berjudi dalam talian.

Mereka mewakili penduduk di Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas mendakwa terdapat lebih 40 premis menjual aksesori telefon menjual kad tambah nilai judi sejak enam tahun lalu. Aktiviti tersebut sudah dibangkit namun didakwa pihak berkuasa tidak bertindak.

Sehubungan itu, sekumpulan 50 penduduk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa semalam yang mahu pihak berkuasa bertindak segera bagi `menyelamatkan’ anak muda yang gemar berjudi.

Wakil penduduk, Noor Haf­sham Noor Halim, 36, berkata, dengan laporan ini mereka berharap kegiatan judi dalam talian boleh dibanteras habis-habisan.

Menurutnya, selain Kota Bharu, premis menjual aksesori telefon di Tanah Merah dan Pasir Mas juga didapati terlibat dengan kegiatan menjual tambah nilai untuk judi.

“Selain menjual kad tambah nilai prabayar syarikat telekomunikasi (telco), mereka turut menggunakan premis itu untuk menjual kad tambah nilai judi,” katanya selepas membuat laporan di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa semalam.

Noor Hafsham berkata, penduduk sebelum ini sudah memaklum berhubung kegiatan tersebut kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan dan perkara ini membahayakan kerana ramai golongan anak muda yang terlibat.

“Berdasarkan maklumat, ada yang sanggup mencuri untuk bermain judi secara dalam talian. Jadi, kita mohon pihak berkuasa banteras habis-habisan kegiatan itu bagi mengelakkan ia terus menjadi barah dalam masyarakat,” ujarnya.

Seorang peniaga yang mahu dikenali Azmi, 49, mendakwa, terdapat lebih lima premis yang terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di sekitar Pengkalan Chepa,

Dakwanya, premis terbabit dipantau oleh kumpulan-kumpulan tertentu bagi mengelak perniagaan mereka diganggu oleh pihak berkuasa.

“Premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian ini berlin­dung dengan perniagaan menjual kad tambah nilai telco.

“Kegiatan itu sudah lama, tetapi tiada orang yang berani kerana premis mereka dikawal oleh kumpulan samseng,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dan membuat risikan dan siasatan lanjut berkaitan dakwaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×