BANGKOK: Kira-kira tiga penumpang penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 yang terlibat dalam insiden gelora udara sudah pulang meninggalkan Thailand dengan ambulans udara manakala yang lain ditemani jururawat dan doktor melalui penerbangan komersial.
Bagaimanapun, 10 penumpang masih dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin di Thailand setelah lebih dua minggu kejadian itu, namun, kebanyakannya sudah pulih dan berkemungkinan dibenarkan pulang dalam beberapa minggu lagi, kata Timbalan Pengarah hospital, Dr Saran Intakul kepada CNA kelmarin.
Intakul berkata, penumpang yang dihantar pulang menerusi ambulans udara memerlukan rawatan lanjut atau pemulihan kecederaan yang dialami akibat insiden itu.
“Mereka tidak boleh menggerakkan badan seperti biasa jadi mereka perlukan beberapa pengiring untuk perjalanan mereka pulang,” katanya.
Ditanya sama ada pesakit ini mengalami lumpuh, Dr Saran tidak menolak keadaannya adalah seumpama itu, namun tiada penjelasan terperinci diberikan.
SQ321 sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura pada 21 Mei, membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal apabila ia mengalami gelora udara dahsyat.
Seorang penumpang Britain, Geoff Kitchen, 73, meninggal dunia dan puluhan yang lain cedera, menyebabkan pesawat Boeing 777-300ER itu dilencongkan dan membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Thailand.
58 penumpang dimasukkan ke wad di tiga hospital, termasuk 20 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut CNA, bekas ahli Majlis Penasihat Presiden, Bobby Chin turut dimasukkan ke hospital di Bangkok, namun dia sudah selamat kembali ke Singapura.
Intankul berkata, setakat perkembangan terkini, tiada seorang pun daripada penumpang yang masih di hospital berada di ICU.
“Saya menjangkakan mungkin seminggu atau dua minggu lagi mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.
Hampir separuh daripada pesakit yang dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin mengalami kecederaan tulang belakang dan sembilan daripadanya memerlukan pembedahan kecemasan dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Bangkok.
Kes paling rumit yang ditangani hospital melibatkan seorang pesakit yang terpaksa menjalani beberapa pembedahan kerana komplikasi.










