KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman pemula yang dibuat oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohd. Azizi Abu Naim untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) mengikut Perlembagaan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal ini kerana proses pilihan raya semula adalah ditentukan oleh Perlembagaan dan tidak sepatutnya dihalang atau jika mahu dibicarakan perlu menunggu selepas proses pilihan raya.
“Alhamdulillah saman pemula yang dikeluarkan oleh Mohd. Azizi untuk mendapatkan injunksi bagi PRK DUN Nenggiri ditolak oleh mahkamah. Proses pilihan raya semula sepertimana keputusan mahkamah perlu diteruskan.
“Jadi kita harap PRK DUN Nenggiri akan dapat dilaksanakan mengikut Perlembagaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Mohd. Amar memberitahu, Perlembagaan jelas menyebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapat notis kekosongan DUN maka hendaklah diadakan pilihan raya dalam masa 60 hari.
“Hari ini SPR bermesyuarat dan akan memaklumkan tarikh penamaan calon serta tarikh mengundi untuk PRK DUN Nenggiri. Saya sendiri tidak dapat mengagak bila tarikh sebenarnya tetapi kita jangka PRK akan berlangsung pada pertengahan atau akhir Julai,” ujarnya.
Utusan Online semalam melaporkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu atas alasan beliau masih penyandang yang sah.










