BATU PAHAT: Dua remaja yang dilaporkan hilang lebih seminggu lalu masih belum ditemukan hingga kini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Dickson Toh Yi Sheng, 16, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 24 Mei lalu mempunyai berketinggian 163 sentimeter, berbadan kurus, kulit cerah dan rambut lurus berwarna hitam.
“Pihak polis sedang berusaha mengesan dan meminta bantuan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja yang berasal dari Jalan Kurnia 6, Taman Kurnia, di sini.
“Orang ramai yang ternampak atau mengenali remaja ini diharapkan dapat menghubungi hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau hotline Polis Daerah Batu Pahat 07-4343999 atau balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, seorang lagi remaja, Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu selepas dilaporkan keluar menonton perlawanan bola sepak di kedai makan berhampiran rumahnya di Taman Putera Indah, di sini turut belum ditemukan.
Justeru, Shahrulanuar Mushaddat meminta orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya terlihat kejadian meragukan yang berkemungkinan ada berkaitan dengan kehilangan kedua-dua remaja tersebut. – UTUSAN










