KUALA PILAH: Dua orang lelaki tempatan yang disyaki pengedar dadah ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sompo, Johol, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kedua-duanya suspek berusia 38 dan 41 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 1.30 pagi dalam serbuan Op Tapis oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.
Menurut beliau, pada mulanya motosikal salah seorang suspek mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perjalanan ke Pahang dan terpaksa menginap di rumah saudara.
“Kami mendapat maklumat awal ini kemudian telah membuat serbuan ke atas rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan telah menjumpai lima peket plastik dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1,075.30 gram serta sepeket plastik dadah jenis syabu dengan anggaran berat 25.4 gram.
“Dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 3,583 orang penagih dadah jenis heroin dan nilai rampasan dadah jenis heroin adalah RM38,710.80. Dadah jenis syabu pula bernilai RM2,974 dengan nilai keseluruhan adalah RM41,684.80,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ujar Amran lagi, hasil saringan awal air kencing kedua-dua suspek dapati positif dadah jenis morfin.
“Hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek yang berusia 38 tahun mempunyai empat rekod berkaitan narkotik dan lima rekod lampau berkaitan jenayah. Suspek yang berusia 41 tahun pula mempunyai 10 rekod berkaitan narkotik dan satu rekod lampau berkaitan jenayah.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 18 Jun depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya lagi.
Katanya, turut dirampas dalam operasi itu adalah dua buah motosikal yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.-UTUSAN.










