KUALA PILAH: Dua lelaki berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini apabila berdepan pertuduhan mengedar lebih satu kilogram dadah minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh iaitu Eshahzril Amyzul Hussin, 38, dan Asraf Tauhid, 41, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya yang masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik serta jenayah.
Berdasarkan pertuduhan pertama, terdapat dalam milikan kedua-duanya satu peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat kasar 25.4 gram.
Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu lima peket plastik berlainan saiz berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah berbahaya jenis heroin dengan berat dianggarkan sebanyak 1075.3 gram.
Oleh itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor kira-kira pukul 1.30 pagi di Kampung Sompo Dangi, di sini, 12 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.-UTUSAN.










