PETALING JAYA: Datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin perlu melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sebulan sekali selepas dibebaskan hari ini.
Peguam, Fahmi Abd. Moin berkata, kedua-dua individu itu iaitu Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria dilepaskan atas jaminan polis kira-kira pukul 2.30 petang.
“Penahanan datuk dan nenek Zayn Rayyan ini tiada sebarang isu, sebaliknya hanya diminta memberikan keterangan berkaitan siasatan dijalankan.
“Kedua-dua mereka berumur 56 tahun itu dimaklumkan perlu sebulan sekali melapor diri di IPD Petaling Jaya selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan luar pintu masuk IPD Petaling Jaya di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua individu itu akan sentiasa mengikut arahan dan perintah yang dikeluarkan.
Jelas beliau, kedua-dua mereka akan sentiasa berikan kerjasama erat dalam siasatan bagi mencari siapa pembunuh Zayn Rayyan.
“Siasatan berkaitan masih dijalankan di bawah Seksyen 302 (Kanun Keseksaan), dan mereka akur dengan syarat dikenakan pihak polis itu,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pertuduhan dihadapkan ke atas Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, ia jelas sekali menafikan segala spekulasi yang tersebar sebelum ini.
“Zaim dan Isma difahamkan meraikan ulangtahun perkahwinan mereka pada 5 Jun lalu, namun ketika itu mereka ditahan.
“Pertuduhan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 ini boleh dijamin berbanding Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang tidak membenarkan sebarang jaminan dilakukan, mereka sangat syukur dan ini merupakan rezeki sempena Aidiladha kelak,” katanya.
Media semalam melaporkan Datuk dan nenek Zayn Rayyan ditahan polis kira-kira pukul 2.30 petang.
Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu, Disember tahun lalu.
Kes pembunuhan Zayn Rayyan mengejutkan negara apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira 36 jam dilaporkan hilang pada 6 Disember lalu.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya.- UTUSAN










