KOTA BHARU: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara berperingkat-peringkat di stesen-stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menjadi salah satu usaha kerajaan membendung pembelian secara berulang bagi tujuan penyeludupan bahan bakar itu ke negara jiran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, kerja-kerja itu akan dilaksanakan mengikut bajet dan akan dibuat secara berfasa.
“Pemasangan CCTV ini akan dilengkapi dengan wifi yang membolehkan KPDN memantau terus dari pejabat dan mudah mengambil tindakan jika berlaku penyeludupan.
“Di daerah bersempadan, terdapat 48 stesen minyak dalam radius 25 kilometer yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api berkenaan,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Rekaan Fesyen Kepenggunaan di sini hari ini.
Azman memberitahu, setakat ini, pengusaha stesen minyak yang terlibat telah memberikan kerjasama serta menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pihak KPDN bagi tujuan pemantauan.
Katanya, perkara itu perlu melalui beberapa proses termasuk perbincangan bersama pengusaha yang terlibat bagi mengenalpasti tempat untuk pemasangan CCTV.
“Setakat ini, kita telah mendapat kerjasama yang baik daripada pengusaha stesen minyak.
“Malah ada yang telah menghubungi kita untuk berbincang mengenai pemasangan CCTV,” ujarnya.-UTUSAN










