PETALING JAYA: Ketetapan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempertandingkan jawatan Presiden dianggap keputusan bijak kerana parti itu masih memerlukan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menyokong penuh ketetapan itu kerana dapat memantapkan lagi parti tersebut.
Kata beliau, Bersatu adalah parti baharu dan dibimbangi wujud perpecahan jika jawatan nombor satu dipertandingkan.
“Jadi keputusan itu bijak. Elak perpecahan dan kita masih memerlukan Tan Sri (Muhyiddin) untuk memimpin parti kerana beliau masih mampu dari segi mengurus parti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, mesyuarat MPT Bersatu memutuskan jawatan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti Oktober ini.
Ia selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai Presiden parti bagi pemilihan akan datang.
Sementara itu, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr. Mahathir Mohd. Rais menyifatkan, keputusan mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden tanpa pertandingan menunjukkan sokongan kuat dan kepercayaan ahli akar umbi terhadap kepemimpinannya.
Katanya, akar umbi yakin dengan kepemimpinan bekas Perdana Menteri itu dan komitmen untuk memperkuat struktur parti serta menekankan nilai-nilai inti seperti agama, bangsa dan negara.
“Walaupun terdapat banyak pemimpin pelapis yang berpotensi dalam Bersatu, keutamaan saat ini adalah untuk memastikan kepemimpinan yang berpengalaman untuk terus memegang teraju.
“Fokus utama adalah memperkukuh nilai teras seperti kepentingan agama, bangsa dan negara serta menolak sebarang bentuk pemikiran atau tindakan yang mengutamakan kepentingan peribadi dan merugikan parti,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Badan Pimpinan Negeri Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Bersatu adalah parti yang masih baharu dan sedang melalui fasa pengukuhan serta konsolidasi.
“Keputusan mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden boleh dibaca sebagai hasrat dan kefahaman pemimpin dan akar umbi Bersatu agar parti terus diperkukuh serta diperkuatkan.
“Paling penting ia adalah mengikut Perlembagaan dan berdasarkan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan yang lepas,” katanya. – UTUSAN










