Belia terjerat ‘beli dulu, bayar kemudian’

Belia terjerat ‘beli dulu, bayar kemudian’

MANGSA tidak menyangka risiko pinjaman ah long menyebabkan dia hidup dalam ketakutan selepas diugut untuk membakar rumahnya kerana tidak dapat melangsaikan hutang.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jika dahulu golongan belia banyak terjerat dengan penggunaan kad kredit, kini trend mereka terbeban de­ngan hutang perkhidmatan beli dulu, bayar kemudian (BNPL) di platform e-dagang.

Presiden Persatuan Penyelesai­an Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, sekurang-kurangnya lima aduan diterima dalam tempoh sebulan sejak tahun lepas.

Menurut beliau, kebanyakan laporan diterima melibatkan anak muda bagi membantu meringankan beban mereka yang telah terjebak dengan perkhidmatan itu.

“Mereka yang telefon (meng­adu) kebanyakan anak muda. Orang berusia tidak buat seperti ini sebab tahu kita perlu bayar untuk barangan dan makanan. Bagaimana jadi darah daging, tetapi tidak bayar lagi.

“Tetapi (4PM) tidak ambil dan layan kes itu sebab remeh. (Untuk apa) nak jadi orang tengah untuk selesai masalah (sedangkan) kamu beli, kamu bayar.

“Jumlah (terbeban) pun kadangkala (cuma) RM1,000…RM800. Jadi, kita bincang dan nasihat sahaja apa perlu dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Oleh itu, Rosland berkata, 4PM tidak bersetuju dengan perkhidmatan BNPL yang sememangnya akan merugikan pihak tertentu selain seperti ‘mengajar’ orang muda berhutang.

Malah, katanya, perkhidmatan itu juga tidak sepatutnya wujud kerana bertentangan dengan amalan perniagaan.

“Mereka hantar barangan kepada keperluan masing-masing, sedangkan duit itu tidak dibayar. Bagaimana perniagaan dan ekonomi mahu berjalan,” kata­nya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT) turut tidak terke­cuali terjerat dalam perkhidmatan pembayaran BNPL.

Katanya, ini kerana perkhid­matan itu menjadi medium membeli barang tanpa perlu membayar pada nilai yang tinggi pada peringkat awal.

Katanya, ia memandangkan pelajar tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan dan pembelian secara BNPL ini tidak memerlukan apa-apa dokumen.

“Cuma mungkin ada beberapa BNPL yang bantu pelajar dan mungkin ada platform yang tidak dipercayai mampu menjerat pelajar,” katanya.

Justeru, katanya, pelajar digalak untuk membayar pada harga penuh supaya mereka tidak memupuk sikap berhutang sejak zaman belajar lagi.

“Apabila mereka sudah selesa berhutang di zaman belajar, kita khuatir sikap itu membebankan mereka akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Fakhruddin berkata, perkhidmatan BNPL bagaimanapun membantunya membeli barangan rumah di platform e-dagang ketika mula berumah tangga.

Katanya, ini kerana keba­nyakan wang simpananya sudah dihabiskan untuk majlis perkahwinan.

“Jadi, perkhidmatan ini se­dikit memberikan kelegaan kepada pasangan baru untuk membeli barangan di e-dagang yang sememangnya lebih murah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×