KUBANG PASU: Bermula sekadar suka-suka, seorang bekas pensyarah kini mampu meraih pendapatan sehingga RM15,000 setiap musim dengan menjual buah longan kristal atau matoa di halaman rumahnya di Kampung Menerong, Padang Sera di Kodiang di sini.
Aziz Romli, 66, bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, beliau menanam enam pokok buah tersebut sejak 10 tahun lalu yang kini dijual pada harga RM30 sekilogram (kg).
“Kalau ikutkan harga pasaran mampu cecah sehingga RM38 atau RM40 setiap kilogram, durian pun sekilogram antara RM30 dan RM40 juga. Tetapi saya jual RM30 sahaja sejak dahulu. Permintaan agak tinggi dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Setiap pokok mampu berbuah antara 50 hingga 60kg. Tahun ini akibat kemarau buah tak menjadi tetapi pokok ini pernah berbuah sehingga 100kg. Kalau tanam suka-suka di halaman rumah boleh dapat pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, minatnya terhadap tanaman itu bermula apabila memperoleh anak pokok kristal berkenaan daripada seorang rakan di Klang, Selangor yang membawanya dari Papua New Guinea.
“Masa itu harga cuma RM10 sepokok. Saya beli lapan pokok tetapi hidup enam sahaja. Selain buahnya saya juga pasarkan anak pokok dengan harga RM25 setiap pokok. Saya tidak sangka buah kristal mempunyai permintaan yang tinggi.
“Penanaman pokok kristal mudah kerana tidak memerlukan penjagaan rapi seperti durian. Cuma baja sahaja dan tidak perlu meracun. Dalam tempoh tiga tahun sudah dapat kutip hasil,” kata bekas pensyarah dalam bidang Sains Komputer ini.
Bercerita keunikan buah kristal itu, katanya, ia mempunyai tiga rasa berbeza selain teksturnya tebal berbanding buah longan.
“Buah ini rasa unik, dikatakan ada tiga rasa iaitu durian, laici dan rambutan berbanding longan lain seperti mata kucing dan sebagainya. Sebiji buah ada tiga rasa mungkin sebab itu jadi minat ramai,” katanya.
Katanya, pokok kristal yang berusia juga semakin membuahkan hasil kerana mampu berbuah dua dan tiga kali setahun berbanding pokok muda.










