JOHOR BAHRU: Bekas Datuk Bandar Johor Bahru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.55 juta antara 2020 hingga 2021.
Bagaimanapun, Datuk Adib Azhari Daud, 64, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Adib Azhari yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Johor Bahru didakwa menerima rasuah antara RM10,000 hingga RM250,000 daripada dua individu menerusi seorang pengantara sebagai upah kerana membantu mendapatkan pelbagai kerja.
Antaranya rojek penyelenggaraan tahunan sistem mekanikal dan elektrik pam kawalan banjir Sungai Sengkuang, kerja ganti paip, penyelenggaraan pembentungan awam paip serta kerja mengatasi tebing runtuh.
Wang tersebut turut diberikan bagi membantu mendapatkan kerja penyelenggaraan loji rawatan kumbahan berpusat dan tebatan banjir Sungai Segget, kerja penyelenggaraan landskap tepi jalan secara tahunan dan penyelenggaraan cantas serta tebang pokok di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) antara 26 Jun 2020 hingga 6 Ogos 2021 di Jalan Serama 7, Larkin, di sini.
Adib Azhari didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azrul Zulkifli Stork.
Pihak pendakwaan memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin berjumlah RM300,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Namun, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM120,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan bayaran RM60,000 dibuat semalam dan selebihnya pada Selasa disebabkan bank ditutup.
Adib Azhari turut diperintahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan pada minggu pertama, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi pendakwaan. – UTUSAN










