Bantuan makanan terus digerak ke Palestin

Bantuan makanan terus digerak ke Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) memfokuskan kawasan ku­rang berisiko daripada sasaran serangan peluru berpandu tentera Israel untuk menyalurkan bantuan makanan serta perubatan kepada penduduk Palestin.

Perkara itu untuk memastikan kotak bantuan tidak rosak akibat serangan di sesetengah kawasan termasuk di Rafah, yang masih menjadi tempat perlindungan penduduk Pa­lestin.

Pegawai Eksekutif Strategik Perhubungan Awam CGM, Haikal Zulkefli berkata, CGM memfokuskan kawasan yang kurang berisiko daripada serangan tentera Israel kerana hanya 50 trak barang komersial yang dibenarkan masuk setiap hari berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, sebelum ini bekalan bantuan yang dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah mencecah 300 trak sehari.

“CGM akan meneruskan bantuan kepada rakyat Pa­lestin terutamanya menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kata beliau, pembelian barangan di Gaza akan menjadi lebih cepat sejak CGM berope­rasi di wilayah itu pada 2013, kerana syarikat mempunyai perjanjian dengan pembekal dan penjual tempatan untuk mendapatkan barangan komer­sial.

Haikal berkata, setakat semalam barangan komersial masih boleh masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah dan lintasan Karem Shalom walaupun terdapat bantuan yang masih tersekat.

Mengulas lanjut, Haikal berkata, mengenai misi korban ummah di Gaza, mereka tidak melakukan aktiviti penyembelihan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun melaksanakan ibadah sedekah daging di mana penyembelihan dilakukan di India.

“Setelah itu, daging tersebut dihantar ke UAE untuk proses pengetinan dan melalui bantuan UAE dan NGO terlibat, daging tersebut berjaya disalurkan melalui pintu masuk utara Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×