HANOI: Sekurang-kurangnya tiga maut dan ribuan rumah tenggelam akibat banjir serta tanah runtuh di utara Vietnam, menurut media kerajaan hari ini.
Banjir yang berpunca daripada hujan lebat berterusan di bandar Ha Giang sejak kelmarin, turut mengakibatkan kebanyakan jalan raya rosak.
Limpahan air sungai Lo mencetuskan banjir dan tanah runtuh, menurut laman web pihak berkuasa wilayah dalam satu kenyataan.
Imej yang disiarkan oleh media kerajaan memaparkan keadaan bandar itu yang dinaiki air menyebabkan kenderaan tenggelam, manakala penduduk terpaksa memanjat bumbung sementara menunggu bantuan.
Menurut Voice of Vietnam yang dikendalikan kerajaan, tiga orang maut selepas dihanyutkan banjir dan tertimbus akibat tanah runtuh.
Minggu lalu, banjir teruk turut dilaporkan melanda bandar pelabuhan utara Hai Phong dan wilayah Quang Ninh, yang terletak di tapak Warisan Dunia UNESCO, Ha Long Bay.
Vietnam sering dilanda cuaca buruk pada musim tengkujuh antara Jun dan November.
Tahun lalu, bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh menyebabkan 169 orang maut atau hilang di negara Asia Tenggara itu.
Para saintis memberi amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia menjadi semakin buruk dan kerap disebabkan oleh perubahan iklim.










