KUANTAN: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dinobatkan raja pecut Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 selepas menang perlumbaan akhir 100 meter (m) di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Atlet kelahiran Perak berusia 20 tahun itu memperoleh catatan masa 10.43 saat (s).
Ketika ditemui pemberita, walaupun menjuarai Terbuka Malaysia, namun Azeem sedikit kecewa kerana catatan masa diperolehnya pada kejohanan itu tidak seperti disasarkan.
“Apa-apa pun saya berterima kasih kepada semua penyokong yang mendoakan saya. Saya minta maaf kerana masih tidak dapat memberikan catatan masa yang memberangsangkan.
“Terdapat beberapa halangan untuk saya melakukannya, mungkin disebabkan rintangan angin ketika berlari tadi. Secara jujur badan saya sendiri belum 100 peratus pulih selepas menempuh perjalanan panjang dari Amerika Syarikat (AS). Ia sangat memenatkan, tapi ini jalan yang saya pilih untuk menjadi seorang atlet.
“Apa-apa pun saya bersyukur dengan kemenangan malam ini, diharapkan minggu depan di Terbuka Kazakhstan di Almaty saya dapat rehat secukupnya dan dapat mencatatkan masa yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Selain bertemu dan berswafoto bersama penyokong di Stadium Darul Makmur, Azeem turut memeriahkan suasana dengan melempar kasut dipakainya pada perlumbaan akhir tersebut kepada penonton.
“Ayah saya cakap, dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Bagi saya kalau saya buat orang gembira, mereka pun akan gembira untuk saya. Saya hanya berikan apa saya mampu, kasut bila-bila masa pun boleh beli.
“Selagi saya mampu dan boleh buat penyokong tersenyum, saya akan buat yang terbaik, cuma saya sekali lagi minta maaf kerana gagal memberikan catatan masa terbaik malam ini,” katanya.

Sementara itu, pelari wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dinobat ratu pecut Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan catatan masa 11.79s. – UTUSAN










