BANGKOK: Kementerian Luar Thailand pada Khamis menafikan dakwaan bahawa Presiden Perancis, Emmanuel Macron, melutut di hadapan Raja Thailand ketika lawatan negara ke Paris minggu ini.
Dakwaan itu berlaku selepas sekeping gambar yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) tular di media sosial.
Lawatan Raja Maha Vajiralongkorn dan isterinya, Permaisuri Suthida merupakan lawatan rasmi pertama oleh seorang raja Thailand ke Perancis sejak 1960, bersempena ulang tahun ke-170 hubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua negara.
Dalam majlis santapan negara di istana presiden, Macron menyampaikan Darjah Kebesaran Grand Cross of the Legion of Honour anugerah tertinggi Perancis kepada Raja Maha Vajiralongkorn yang berusia 73 tahun.
Permaisuri Suthida menerima Darjah Kebesaran Grand Cross of the National Order of Merit, menurut media Thailand.
Satu imej yang tersebar meluas di internet di Thailand didakwa menunjukkan Macron sedang melutut ketika menyampaikan anugerah tersebut.
Satu hantaran Facebook dalam bahasa Thai yang memaparkan imej itu pada Rabu meraih lebih 40,000 tanda suka dan lebih 2,000 perkongsian menjelang keesokan harinya.
Hantaran itu turut dikongsi oleh sebuah laman yang mempunyai lebih dua juta pengikut dan kerap menerbitkan kandungan berunsur pro-tentera serta nasionalis.
Seorang pengguna mengulas: “Saya sangat gembira dan benar-benar terharu kerana Perancis, sebuah negara yang jauh lebih kaya dan maju daripada negara kita, masih memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada negara kita.”
Bagaimanapun, seorang pegawai Kementerian Luar Thailand mengesahkan bahawa imej tersebut dijana menggunakan AI.
“Tiada sebarang bukti yang menunjukkan Emmanuel Macron melutut ketika menyampaikan darjah kebesaran diraja,” kata pegawai itu kepada AFP.










