ATM, Polis gagalkan penyeludupan lembu untuk Aidiladha

ATM, Polis gagalkan penyeludupan lembu untuk Aidiladha

PENYELUDUPAN lembu berjaya dipatahkan oleh ATM dan Polis selepas menahan dua buah treler di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan semalam.-IHSAN ATM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 69 ekor lembu bernilai RM345,000 untuk sambutan Hari Raya Aidiladha selepas menahan dua buah treler semalam.

Dalam serbuan pukul 8.20 malam selepas bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota telah berjaya menahan dua suspek yang sedang menyeludup haiwan berkenaan di sempadan Malaysia-Thailand.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan keatas kedua-dua kenderaan itu membawa kepada penemuan 69 ekor lembu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, mereka akan mengaut keuntungan lumayan hasil penjualan lembu-lembu itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Kesemua rampasan termasuk dua buah treler yang mampu membawa muatan sehingga 50 tan itu pula dianggarkan berjumlah RM1.34 juta.

“Kedua-dua suspek diserahkan kepada Balai Polis Lalang Pepuyu manakala lembu-lembu yang dirampas pula dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ujarnya, ATM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×