SEREMBAN: Sebanyak 12 lokasi tumpuan warga asing di sekitar bandar ini dan Kuala Pilah digempur pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dalam operasi yang bermula semalam dan berakhir awal pagi tadi.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam operasi yang dilaksanakan itu, seramai 84 orang warga asing dari pelbagai warganegara diperiksa dan daripada jumlah yang diperiksa tersebut, seramai 46 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 18 tahun hingga 47 tahun telah ditahan.
“Kesemua PATI yang ditahan ialah 14 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar, lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, empat lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, lima lelaki warga India, seorang lelaki dan dua wanita warga Sri Lanka.
“Semasa operasi dijalankan di salah satu lokasi, terdapat cubaan melarikan diri dengan merempuh pegawai Imigresen yang terlibat serta berlaku adegan meraih simpati dengan merayu kepada pegawai untuk dilepaskan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Kennith Tan lagi, kesemua PATI telah dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 11 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.-UTUSAN.











