KATHMANDU: Tentera Nepal mengeluarkan 11 tan sampah dan menemukan empat mayat serta satu rangka mayat pendaki dari kawasan Gunung Everest dan dua lagi puncak Himalaya tahun ini.
Pasukan itu mengambil masa selama 55 hari untuk mengeluarkan semua sampah dan mayat dari gunung Everest, Nuptse dan Lhotse.
Dianggarkan lebih 50 tan sampah dan 200 mayat pendaki ditemukan di kawasan Gunung Everest.
Pihak tentera mula menjalankan pembersihan di kawasan gunung yang sering digambarkan sebagai tempat pembuangan sampah tertinggi di dunia.
Lima siri pembersihan mengumpul 119 tan sampah, 14 mayat dan beberapa rangka pendaki, kata tentera.
Tahun ini, pihak berkuasa berhasrat untuk mengurangkan sampah dan menambah baik aspek keselamatan melalui pemakaian alat pengesan kepada pendaki dan menetapkan pendaki membawa balik najis sendiri.
Kerajaan juga merancang mewujudkan pasukan renjer gunung bagi memantau sampah dan meletakkan lebih banyak peruntukan untuk kutipannya, kata Pengarah Jabatan Pelancongan Nepal, Rakesh Gurung kepada BBC.
Bagi musim pendakian musim bunga yang berakhir Mei, kerajaan mengeluarkan 421 permit kepada pendaki, berkurang daripada 478 pendaki yang pecah rekod tahun lalu.
Angka tersebut tidak termasuk pemandu pendaki Nepal.
Secara keseluruhan, dianggarkan 600 orang mendaki gunung itu tahun ini dan lapan pendaki mati atau hilang, berbanding 19 tahun lalu.










