JERANTUT: Warga Felda sedia memboikot produk makanan yang ada label ‘no palm oil’ (NPO) atau ‘tiada minyak sawit’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka Razak Daud berkata, label NPO pada produk makanan memberi gambaran negatif terhadap industri minyak sawit negara.
Malah katanya, tindakan sedemikian seolah-olah mensabotaj industri minyak sawit yang memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara.
“Sepatutnya tidak ada mana-mana syarikat produk tempatan yang membawa suara negara-negara Kesatuan Eropah yang memboikot minyak sawit negara,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan ‘tiada minyak sawit’ pada plastik pembungkusan produk itu.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali dilaporkan berkata, serbuan bermula pukul 11.45 pagi itu berdasarkan aduan awam dan hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan produk aiskrim pelbagai perisa dengan NPO.
Mengulas lanjut, Razak berkata, industri minyak sawit dan produk berkaitan menjadi penyumbang utama kepada hasil ekonomi negara serta memainkan peranan penting dalam mengurangkan kemiskinan luar bandar.
“Industri minyak sawit negara perlu terus dilindungi dan dijaga kerana sektor ini menjadi sumber pendapatan utama lebih 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara,” katanya.
Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi Satu, Abdul Rahman Ghani mempertikaikan niat syarikat berkenaan yang tidak peka dengan kepentingan negara.
“Banyak produk makanan menggunakan minyak sawit seperti susu pekat manis tetapi ada syarikat menolak penggunaan minyak sawit negara. Jadi, warga Felda akan menggunakan kuasa beli di tangan kami memboikot produk berkenaan dengan membeli produk alternatif,” katanya.
Beliau menggesa KPDN bertindak dan menyenaraikan produk makanan yang ingkar dan bersikap tidak jujur dengan ‘menikam belakang’ industri minyak sawit negara. – UTUSAN










