Warga emas didakwa semula 30 Mei pamer gambar Agong ketika kempen PRK - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa semula 30 Mei pamer gambar Agong ketika kempen PRK

Gambar Agong
P. Ramasamy meninggalkan Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda apabila didapati bersalah mempamer gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti pada kempen PRK Kuala Kubu Baharu, di Hulu Selangor, Selangor. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KUBU BAHARU: Seorang lelaki warga emas akan didakwa semula di Mahkamah Majistret di sini pada 30 Mei ini atas pertuduhan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), awal bulan ini.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret pada prosiding hari ini menetapkan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan tertuduh P. Ramasamy, 66, tidak dikemukakan di mahkamah dan memohon satu tarikh sebutan ditetapkan.

“Mahkamah ambil maklum bahawa permohonan semakan tertuduh di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) bertarikh 23 Mei telah dibenarkan. Sabitan dan hukuman diketepikan.

“Untuk kes ini (pertuduhan semula), mahkamah menetapkan 30 Mei untuk sebutan bagi kehadiran tertuduh,” kata Siti Fatimah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan memohon satu tarikh sebutan bagi pertuduhan dibacakan semula terhadap Ramasamy.

Mendengar perkara itu, peguam Pavitra Loganathan yang mewakili Ramasamy mengesahkan anak guamnya masih berada di Penjara Kajang namun pada hari ini keberadaanya tidak dapat dipastikan.

Pada 6 Mei lalu, Ramasamy dihukum penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan kes Ramasamy dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret KKB.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Wendy Ooi Su Ghee, memutuskan demikian selepas meneliti hujahan peguam bela mewakili Ramasamy selaku pemohon yang memfailkan semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan terhadapnya.

Ketika membenarkan semakan kehakiman itu, mahkamah menolak pengakuan salah Ramasamy dan menyifatkannya sebagai pengakuan bersyarat kerana tertuduh tidak memahami pertuduhan tersebut.

“Tertuduh juga menyebut bahawa dirinya tidak tahu penggunaan gambar Seri Paduka sebagai satu kesalahan. Disebabkan itu, kes dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret untuk dibicara,” kata Wendy Ooi.

Mengikut pertuduhan, warga emas berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×