KULAI: Seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh badannya selepas diserang empat individu lelaki yang bertindak mahu menyamun mangsa di depan rumahnya sendiri di Taman Lagenda Putra, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut oleh suami mangsa pada 9.30 malam, kelmarin.
“Berdasarkan laporan tersebut, mangsa telah ditumbuk dan diseret suspek ke atas jalanraya sebelum cuba dibawa masuk ke dalam sebuah kereta namun tidak berjaya.
“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir, tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, pihaknya sedang berusaha untuk mengesan kesemua suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Sementara itu, anak perempuan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fang, 19, memberitahu, ibunya turut dicabul ketika serangan itu berlaku di hadapan kediaman mereka.
“Ketika itu, ibu saya baru pulang dari kerja. Selepas meletakkan kenderaan di luar rumah, sebuah kereta putih dinaiki empat lelaki berhenti di depan ibu saya dan seorang daripada mereka mencabul dan menarik ibu saya untuk masuk dalam kereta tersebut.
“Lelaki itu memukul dan menumbuk ibu saya sehingga cedera pada mulut sehingga memerlukan jahitan. Mujur ibu saya mempunyai kekuatan untuk melawan balik sambil menjerit untuk bantuan.
“Salah seorang jiran yang mendengar jeritan ibu saya keluar dari rumah sebelum kesemua empat lelaki itu melarikan diri selepas itu,” ujarnya.










