KUALA LUMPUR: Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM) yang ditubuhkan pada tahun lepas, muncul antara penyumbang utama kepada pembangunan dan ekonomi Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat hari ini sebanyak 15,800 koperasi berjaya ditubuhkan dengan keanggotaan sekitar 7.3 juta di seluruh negara dan mencatatkan perolehan sehingga RM64 bilion pada tahun lepas.
“Ia adalah sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang begitu besar, jadi kita memerlukan pentadbir dan pemimpin koperasi bukan sahaja kepakaran, kepimpinan dalam bidang pentadbiran koperasi tetapi latar belakang pengajian dalam bidang ini.
“Saya melihat universiti ini boleh membantu anak-anak koperasi atau pelajar yang merupakan ahli koperasi untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan doktor falsafah,” katanya semasa ditemui di Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Bank Rakyat di sini,hari ini.
Ewon berkata, Suruhanjaya Koperasi dan ANGKASA turut menawarkan pembiayaian dan biasiswa khas untuk anak-anak ahli koperasi melanjutkan pengajian di UKKM.
Katanya, kerjasama antara Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan UKKM mampu melahirkan generasi yang boleh mentadbir koperasi negara dengan lebih baik.
“Saya mengalakkan YBR untuk menjadi sebahagian penyumbang penawaran biasiswa terutama kepada pelajar di universiti yang kita khusukan pengajian dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
“Kita memerlukan anak-anak muda yang boleh mentadbir koperasi dengan lebih baik yang juga boleh menjadi pemimpin dan ahli kooperasi yang baik.
“Sebab itu kita menubuh dan memulakan pengajian ataupun melancarkan universitas khas dalam sektor koperasi. Ini merupakan universitas koperasi yang pertama di rantau ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ewon memaklumkan UKKM antara pusat pengajian tinggi yang menawarkan lima bidang keusahawanan dan koperasi untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi melanjutkan pengajian. – UTUSAN









