JOHOR BAHRU: Rumah suspek utama dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi tadi dikawal rapi kira-kira 20 pegawai dan anggota polis.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan kediaman tersebut melibatkan tanah persendirian dengan beberapa buah rumah di kawasan terbabit.
Jiran-jiran di sekitar kawasan berkenaan juga dilihat tidak keluar meninggalkan rumah masing-masing.
Jarak antara kediaman itu dengan Balai Polis Ulu Tiram adalah kira-kira 7 kilometer.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, dua anggota polis maut akibat ditembak dan ditetak suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota turut cedera.
Suspek yang dipercayai merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) turut maut di lokasi kejadian.
Difahamkan, kawasan itu merupakan kawasan pemantauan pihak berkuasa yang dipercayai pernah dijadikan markas operasi kumpulan berkenaan di negeri ini.
Sementara itu, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Fauzi, 39, berkata, ahli keluarga suspek turut disyaki mempunyai fahaman agama yang ekstrem.
“Kawasan penempatan kumpulan ini telah wujud lebih 20 tahun lalu. Terdapat kira-kira 18 keluarga menetap di kawasan perumahan persendirian itu.
“Memang kami penduduk kampung terkejut dengan kejadian ini. Difahamkan mereka memiliki fahaman agama yang ekstrem dan sedikit berbeza daripada fahaman agama Islam,” katanya kepada pemberita.










