KUANTAN: Kerajaan memberikan jaminan bahawa tiada lagi murid dan pelajar yang terpaksa panjat pokok untuk mendapatkan liputan internet demi proses pembelajaran mereka mulai akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memahami permasalahan itu dan sudah pun memaklumkan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo supaya segera menyelesaikan perkara tersebut.
“Kita telah ada liputan 5G, sesebuah negara yang besar mereka telah ada 5.5G, maka dalam hal ini kita akan terus memberikan liputan (internet) bagi kawasan yang berpendudukan rendah agar dapat diberikan capaian terutama di kawasan Felda, desa, Orang Asli dan kawasan pendalaman.
“Wajib diberikan liputan secukupnya untuk murid-murid dan pelajar. Ini azam saya,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini hari ini.
Masalah capaian internet seperti tiada berkesudahan apabila saban hari ada sahaja berita permasalahan itu yang terpaksa dihadapi murid dan pelajar terutama di luar bandar serta ceruk kampung.
Lebih ketara sewaktu kerajaan melaksanakan sistem pembelajaran secara dalam talian khususnya ketika pandemik Covid-19, masih ramai anak-anak di luar bandar yang tidak dapat mengikutinya kerana capaian internet yang tidak memuaskan, selain masalah kekurangan infrastruktur asas lain.
Akibat capaian lemah, murid dan pelajar khususnya di luar bandar dan kawasan pendalaman terpaksa mencari alternatif termasuk mendirikan khemah di atas bukit dan memanjat pokok semata-mata mahu mendapatkan liputan internet lebih baik.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kisah seorang bapa di Tanah Merah, Kelantan yang terpaksa mendirikan khemah dan menyambung wayar elektrik sepanjang hampir 20 meter di puncak bukit belakang rumahnya kerana mahu memudahkan anaknya mendapat capaian internet lebih baik untuk menyiapkan tugasan belajar.
Dalam sidang akhbarnya selepas majlis tersebut, Ahmad Zahid berkata, selain Menteri Digital, perbincangan juga akan turut dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberikan tumpuan capaian 5G di kawasan berpendudukan rendah termasuk di Felda, kampung tradisional dan pendalaman.
“Sekarang ini cakupan (internet) kawasan penduduk tinggi 87.5 peratus dan saya yakin akhir tahun ini kawasan berpendudukan tinggi capai hampir 99 peratus.
“Lepas ini fasa kedua ialah kawasan berpendudukan rendah supaya sekolah-sekolah di kampung Orang Asli yang saya sebut tadi kawasan kampung tradisional, Felda dan pendalaman akan dapat dicakupi dengan liputan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, guru adalah tonggak utama pendidikan negara dan dalam usaha mendidik serta mengajar, mereka tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks.
“Antara cabaran yang sering dibicarakan adalah tentang bebanan tugas guru yang semakin bertambah, tekanan kerja, kekurangan alat bantu mengajar yang menyukarkan pengajaran dan pembelajaran, isu disiplin pelajar, perubahan kurikulum, kurangnya akses kepada peluang pembangunan kerjaya serta lain-lain cabaran.
“Saya amat memahami cabaran-cabaran ini dan berkeyakinan kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Perdana Menteri dan dibantu rakan-rakan di Kementerian Pendidikan pastinya terus komited mencari solusi tuntas bagi setiap permasalahan ini.
“Tambahan pula, dengan peruntukan sekitar RM58.7 bilion untuk sektor pendidikan di dalam Bajet 2024 pastinya dapat kita manfaatkan untuk memperkenalkan sistem pengurusan sekolah digital yang lebih berkesan, memperuntukkan dana tambahan bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah, menyediakan peralatan pembelajaran yang mencukupi serta pelbagai inisiatif lain,” katanya. – UTUSAN










