PETALING JAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan operasi pembenihan awan dalam masa terdekat walaupun beberapa negeri mengalami cuaca panas sehingga Julai ini.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tiada keperluan untuk melakukan pembenihan awan kerana cuaca dijangka akan berubah pada awal Mei menjadi lebih lembab.
“Jangkaan cuaca panas memang dijangka berlaku sehingga Julai tetapi keadaan cuaca panas dijangka akan semakin berkurangan.
“Proses pembenihan awan juga bergantung kepada permohonan daripada kerajaan negeri sama ada ingin melakukan operasi pembenihan awan dan nasihat teknikal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Malaysia dijangka terus berdepan dengan cuaca panas susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.
Antara negeri yang kini dilanda cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh kira-kira tiga bulan ialah Pahang, Perak, Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Mengulas lanjut, Khairul Shahril memberitahu, proses pembenihan awan ini hanya akan dilakukan pada masa yang bersesuaian sahaja.
“Operasi pembenihan awan hanya akan dilaksanakan apabila berlakunya situasi cuaca kering di sesuatu kawasan yang boleh menimbulkan masalah dari aspek bekalan air bagi kegunaan orang awam, industri dan pertanian yang akan ditentukan oleh pihak kerajaan negeri.
“Keadaan atmosfera yang bersesuaian untuk melaksanakan proses pembenihan awan juga berdasarkan corak ramalan cuaca dalam masa terdekat yang ditentukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Felow Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, kebarangkalian keadaan cuaca memerlukan pembenihan awan mungkin rendah terutama bermula Julai ini kerana keadaan La Nina yang diramal bermula di Lautan Pasifik dan dijangka berterusan hingga ke hujung tahun dan awal tahun 2025.
“Pada ketika ini, Malaysia masih berada pada musim peralihan monsun dan kebiasaannya curahan hujan tinggi terutama di pantai barat Semenanjung.
“Namun, bermula Jun hingga Ogos, Malaysia dijangka akan mengalami musim monsun barat daya dengan keadaan curahan hujan yang paling minima.
“Walau bagaimanapun, menurut ramalan cuaca daripada Apec Climate Center, curahan hujan pada bulan Mei hingga Ogos agak tinggi dan basah berbanding normal,” katanya.









