Tetap cinta Malaysia walau 30 tahun di Arab Saudi

Tetap cinta Malaysia walau 30 tahun di Arab Saudi

Ramy Abdul Aziz tetap cintakan Malaysia walaupun 30 tahun dibesarkan dan menetap di Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Perasaan cinta seorang anak muda kepada Malaysia tidak pernah luntur walaupun sudah 30 tahun dibesarkan di Arab Saudi.

Pembantu Petugas Haji (Patuh), Ramy Abdul Aziz, 31, berkata, separuh jiwanya ‘melekat’ di Malaysia dan keterujaannya bertambah sejak pulang Malaysia buat pertama kali tahun lalu.

Walaupun dia tidak dibesarkan di Malaysia namun cintanya kepada Malaysia tetap menebal dan sentiasa berbangga dengan pencapaian negara.

Oleh itu, menurut beliau, dia yang hanya fasih berbahasa Arab dan Inggeris juga berkata, peluang berkhidmat untuk jemaah negara sendiri cukup menjadikan ia satu penghargaan buat dirinya.

“Dapat memberikan khidmat kepada warganegara sendiri juga cukup membuatkan saya rasa puas hati dan berbangga,” katanya yang mempunyai lima adik beradik.

Dia yang mula bekerja sebagai Patuh sejak 2014 berperanan sebagai pemandu dalam musim haji kali ini.

Katanya lagi, dia yang tinggal dan membesar di Arab Saudi merupakan generasi ketiga selepas arwah datuknya berhijrah ke negara tersebut sejak lebih 50 tahun lalu.

Dalam pada itu, Ramy ketika menceritakan saat pertama kali pulang ke Malaysia berkata, dia tidak terlepas berdepan beberapa perkara melucukan.

“Antaranya ramai yang pelik dengan saya apabila ada cuba berkomunikasi dengan saya. Mereka bertanya kenapa saya tidak boleh berbahasa Melayu sedangkan wajah saya sememangnya tipikal Melayu.

“Saya terpaksa menjelaskan bahawa saya dibesarkan di Arab Saudi sejak 30 tahun lalu dan tidak pernah pulang ke tanah air sebelum itu,” jelasnya.

BERKOMUNIKASI

Sementara itu, Kerani Pejabat Operasi Madinah, Majed Abdulrahman Taib berkata,  kemahiran berkomunikasi dan mampu mengurus jemaah antara kriteria penting untuk menjadi Pembantu Petugas Haji (Patuh) menguruskan kelancaran jemaah menunai ibadah.

Menurut Majed, penugasan Patuh antaranya mengendalikan jemaah haji dalam aspek se­perti kebajikan serta perubatan, menjadikan dua kriteria berke­naan dititik beratkan dalam pengambilan Patuh.

Malah katanya, Patuh dalam masa yang sama berpera­nan sebagai pemudah cara antara petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan kerajaan Arab Saudi.

“Patuh banyak memainkan peranan. Untuk tahun ini seramai 69 petugas Patuh telah ditempatkan di sini, terbahagi kepada 49 orang dikhas menjaga unit kebajikan

“Petugas Patuh ini mengikut semua unit Tabung Haji. Kalau perubatan ada yang jaga jemaah yang sakit, ada yang membantu tukang ma­sak dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Majed berkata, dia per­nah berkhidmat se­bagai pemandu kepada petugas media Tabung Haji pada 2013 sehingga 2019.

“Selepas berakhir penularan wabak Co­vid-19, saya menyertai semula Patuh pada 2021 sehingga sekarang.

“Antara sebab ramai yang berminat untuk menjadi Patuh adalah kerana persamaan bahasa dan mereka suka dengan jemaah haji Malaysia,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN