PETALING JAYA: Tangkapan kedua yang ditahan di Bandar Baru Bangi, Kajang bagi membantu siasatan kes simbah asid ke atas pemain bola sepak negara, Faisal Halim dibebaskan.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berkata, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini setelah proses soal siasat selesai.
Bagaimanapun, kata kenyataan JSJ, lelaki itu boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk membantu siasatan dalam kes tersebut sekiranya diperlukan oleh PDRM.
“Tiada sebarang pengakuan dari lelaki itu dan siasatan masih dijalankan oleh PDRM untuk mengesan suspek lain serta mendapatkan keterangan lanjut dalam kes ini,” katanya di sini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan wajah atau fotofit suspek kes simbah asid membabitkan tonggak bola sepak Selangor FC, Faisal Halim dalam proses disiapkan.
Beliau berkata, lakaran fotofit itu akan dibuat hari ini berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Daripada situ, PDRM akan kumpul lagi maklumat selain mengkaji lagi cap jari di lokasi kejadian.
Razarudin berkata, lebih 12 individu telah dirakam keterangan setakat ini.
Pada 5 Mei lalu, Faisal cedera selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira pukul 5 petang.
Susulan itu, polis berjaya memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang dan Bangi pada Ahad serta Isnin lalu. – UTUSAN









