KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melancarkan siri komik Wira Anti Rasuah.
Penerbitan komik berkenaan adalah inisiatif kerjasama strategi SPRM dan ITBM dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menjadi medium pendidikan antirasuah dalam kalangan murid sekolah rendah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penerbitan komik ini ia secara tidak langsung mendedahkan amalan rasuah dan kesannya kepada masyarakat serta negara.
“Fokus utama aktiviti pendidikan kami tentunya menyampaikan mesej antirasuah secara berterusan kepada setiap lapisan masyarakat, seterusnya meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah di Malaysia.
“Murid-murid sekolah di mana di peringkat inilah asas dalam membentuk masyarakat yang berintegriti, jujur dan tidak mengambil hak orang lain boleh diterapkan selaras bagi merealisasikan impian untuk melahirkan generasi Malaysia yang bebas rasuah,” katanya pada Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan ITBM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Azam berkata, kerjasama strategik ini antara lain merangkumi usaha untuk memberi pendedahan terhadap gejala rasuah dan salah guna kuasa melalui penerbitan komik, memupuk kesedaran bahaya amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Dengan hasil penerbitan yang disusuli program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan murid sekolah, usaha ini jelas sekali dilaksanakan secara serius dan berterusan untuk membina impak yang besar kepada inisiatif untuk menerapkan nilai integriti.
“Projek kerjasama antara ITBM, KPM dan SPRM dalam menerbitkan bahan bacaan seperti komik dan video animasi seperti program hari ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada murid-murid,” katanya. – UTUSAN










