KUANTAN: Seramai 15,918 calon daripada 16,782 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi negeri ini layak memperoleh sijil.
Daripada jumlah itu, serama 517 pelajar memperoleh semua A dengan seramai empat calon memperoleh semua A+.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Amzan Abd. Malek berkata, keputusan SPM 2023 bagi negeri ini menunjukkan peningkatan berbanding 2022.
Katanya, bagi prestasi negeri, Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan peningkatan 4.36 iaitu 0.21 lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu 4.57.
“Bagi Gred Purata Mengikut Lokasi pula, pencapaian calon SPM luar bandar menunjukkan peningkatan 4.61 berbanding 4.88 pada tahun lalu sekali gus merapatkan jurang sebanyak 0.1 berbanding tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2023 Peringkat Negeri Pahang di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amzan berkata, sebanyak 10 buah sekolah membabitkan lima di Kuantan dan satu masing-masing di Bentong, Pekan, Jerantut dan Raub disenaraikan sebagai sekolah terbaik.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kecemerlangan calon SPM negeri ini tahun ini.
“Walau apa jua cabaran dihadapi termasuklah ketika banjir dan terpaksa dikuarantin di sekolah, dengan keberadaan di sekolah dapat fokus dan beri tumpuan. Tahniah kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang memastikan tidak ada anak-anak mereka tertinggal dalam SPM.
“Kita mahukan semua lulus atau ada yang cemerlang. Kalau melihat kepada pencapaian GPS kita telah berada kedudukan yang lebih baik berbanding tahun lepas dan inj suatu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya
Ujarnya, pencapaian seumpama ini harus diteruskan walaupun kedudukan geografi mencabar bagi pelajar seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek di Pulau Tioman, Rompin dekat sini yang menunjukkan peningkatan cemerlang pada tahun ini. – UTUSAN










