PARIS: Bilangan penduduk yang terdedah kepada tekanan haba berbahaya di seluruh dunia meningkat secara mendadak sepanjang setengah abad lalu.
Menurut satu kajian pada Isnin, situasi itu disebabkan oleh perubahan iklim ketika Eropah sedang berdepan gelombang haba yang ekstrem.
Tekanan haba iaitu istilah bagi pengumpulan haba badan yang berbahaya akibat lonjakan suhu, kelembapan dan faktor-faktor lain merupakan antara punca utama cuaca ekstrem meragut nyawa manusia.
Kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change itu menjejaki bagaimana tahap tekanan haba melonjak antara dekad 1970-an hingga tahun 2024.
“Di setiap benua, tekanan haba tahap kuat hingga ekstrem kini berlaku dengan lebih kerap,” kata ketua pengarang kajian tersebut, Rebecca Emerton, dari Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah kepada AFP.
Sebagai contoh, pada tahun 1970-an, sebanyak 16 peratus daripada populasi dunia mengalami sekurang-kurangnya satu hari tekanan haba ekstrem iaitu apabila ‘suhu dirasai’ mencecah sekurang-kurangnya 46 darjah Celsius.
Lima puluh tahun kemudian, kadar tersebut telah meningkat kepada 22 peratus.
“Angka itu mungkin kelihatan kecil. Tetapi, ia sebenarnya melibatkan pertambahan kira-kira satu bilion penduduk yang kini terpaksa berhadapan dengan tekanan haba ekstrem, berbanding situasi yang tidak pernah mereka lalui pada era 1970-an,” kata Emerton.
Kajian tersebut menggunakan Indeks Iklim Terma Sejagat (UTCI) bagi mewakili keadaan suhu yang ‘dirasai’ oleh manusia dengan mengambil kira faktor seperti kelembapan, angin, radiasi dan tindak balas tubuh manusia terhadap haba.
Penyelidikan itu mendapati purata UTCI harian terus meningkat memandangkan kejadian tekanan haba menjadi semakin kerap, teruk dan berlarutan dalam tempoh yang lebih lama akibat pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti manusia.
Emerton berkata, beberapa negara termasuk Sepanyol, Portugal, Itali dan Perancis kini mencatatkan ‘suhu dirasai’ sehingga lima darjah lebih panas berbanding apa yang mereka alami pada tahun 1970-an. – AGENSI










