Simbah asid: Aspek peminat sakit hati antara disiasat polis

Simbah asid: Aspek peminat sakit hati antara disiasat polis

RAZARUDIN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan rasa tidak puas hati individu tertentu termasuk peminat bola sepak mungkin menjadi motif tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim disimbah asid pada Ahad lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan yang dilakukan polis ketika ini adalah pelbagai sudut.

Menurut beliau, setakat ini tiada pengakuan daripada individu yang ditahan di Bangi kelmarin berhubung kejadian itu.

“Kita masih menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan peminat sakit hati atau mempunyai kaitan perkara lain mengenai perlawanan.

“Meskipun ada pelbagai kemungkinan tetapi kita tidak boleh terus membuat kesimpulan. Tunggu sehingga siasatan selesai,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, PDRM juga kini sedang mengesan pemilik media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh berhubung kenyataannya mengenai kejadian simbah asid tersebut.

Kata beliau, individu berkenaan mendakwa mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.

“Jadi, kita mahu kesan dia untuk melihat maklumat apa yang dia ada boleh membantu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan boleh tampil bukan mengeluarkan kenyataan di laman sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan,”jelasnya.

Razarudin turut mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul yang boleh menjejaskan siasatan.

Dalam insiden di sebuah pusat beli-belah sekitar Peta­ling Jaya, Ahad lepas, Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey disimbah asid oleh individu tidak dikenali hingga mengaki­batkan kelecuran tahap dua di beberapa bahagian badannya.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun dan kepalanya dihentak dengan kuat menggunakan cota dalam insiden di Terengganu.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian daripada ramai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN