Sidang pertama Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Syariah Kelantan dijangka selepas Mei

Sidang pertama Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Syariah Kelantan dijangka selepas Mei

MOHD. Asri Mat Daud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Syariah Kelantan dijangka bersidang buat kali pertama selepas Mei ini sebaik sahaja selesai penganjuran Konvensyen Perundangan dan Pemantapan Syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud berkata, konvensyen yang akan berlangsung di Kompleks Balai Islam Lundang, di sini pada 21 Mei ini merupakan program pemula kepada usaha jawatankuasa khas tersebut.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan 16 seksyen yang terbatal dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dapat dibawa dan diluluskan kembali oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

“Sungguhpun namanya Konvensyen Perundangan dan Pemantapan Syariah tetapi ia sangat berkait rapat dengan kerajaan negeri. Ini adalah pemula kepada usaha membawa kembali 16 syeksen tersebut, yang mana hasil konvensyen akan dibincangkan oleh jawatankuasa khas ini pada persidangan pertamanya.

“Insya-Allah konvensyen akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan diserikan dengan ucaptama daripada bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim di sini ini.

Mohd. Asri memberitahu, tiga pembentangan kertas kerja akan berlangsung pada konvensyen tersebut seterusnya diulas oleh barisan pengulas jemputan yang terdiri daripada peguam-peguam dan pakar dalam bidang Syariah.

Katanya, antara pengulas jemputan adalah bekas Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Muhammad Asri Abdullah, Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr. Muhammad Fathi Yusof.

Mohd. Asri berkata, proses pembentukan jawatankuasa itu telah mencapai 65 peratus dan kini dalam perbincangan untuk melengkapkan keanggotaannya.

“Sekarang ini struktur utama jawatankuasa sudah ada dan kini kita sedang mencari siapa lagi akan menjadi anggotanya. Jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan ini akan bersidang sebaik sahaja lengkap keanggotaannya.

“Kita mahu memastikan pihak-pihak yang sepatutnya terbabit dalam jawatankuasa ini tidak tertinggal daripada sebarang perbincangan,” katanya.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya