ALOR SETAR: “Saya bersama rakan lelaki itu kemudiannya berjaya mencari jalan keluar tetapi tiga yang lain tiada bersama kami.
“Kami gagal cari mereka meskipun pada mulanya kami sangka mereka mengekori dari belakang. Apabila kami jerit nama mereka juga tiada sahutan.”
Itu cerita Siti Norzawiyah Anuar, 19, seorang daripada lima remaja dengan tiga daripada mereka tersesat hampir 12 jam selepas dipercayai mengutip batu kristal di Gunung Keriang, di sini, kelmarin.
Menurut Siti Norzawiyah, mereka berlima mula tersesat di dalam gua dan dia bersama seorang rakan mendahului kumpulan itu untuk mencari jalan keluar.
“Dalam masa sama, saya ada hubungi telefon bimbit rakan yang tersesat namun mereka menyatakan tidak tahu berada di mana. Sebelum ini saya pernah beberapa kali naik ke gunung ini dan masuk ke Gua Terus tetapi tak sangka boleh sesat begini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Menurutnya, mangsa merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun serta dua remaja perempuan berumur 14 dan 17 tahun.
“Mereka bersama dua lagi rakan dikatakan mula mendaki gunung tersebut bermula 9 pagi dan memasuki Gua Terus. Namun setelah beberapa jam, tiga daripadanya tersesat manakala dua lagi remaja berusia 16 dan 19 tahun berjaya keluar dari gua itu,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam. – UTUSAN










