IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menyelenggara pokok-pokok teduhan besar yang terletak dalam bandaraya khususnya di jalan-jalan utama bagi memastikan keselamatan awam.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pada tahun tahun, sebanyak 9,946 pokok diselenggara merangkumi kerja secara jabatan (6,452 pokok) serta kontrak luaran (3,494).
Menurutnya, kerja selenggaraan merangkumi tebangan pokok yang sudah mati, rosak, condong dan berpenyakit (2,066 pokok) dan selenggaraan dahan, kanopi (7,880 pokok).
“Bagi selenggaraan pokok besar yang berusia iaitu melalui saiz fizikal, penyelenggaraan yang berkala adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kestabilan pokok tersebut.
“Antara kaedah yang dilaksanakan adalah dengan membuat pemangkasan dahan yang dahan-dahan pokok akan dikurangkan bagi memudahkan laluan angin melalui kanopi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Majlis Daerah Kampar (MDKpr) pula membuat pengawasan atau inventori secara berkala bagi pokok-pokok tua atau lebih dikenali pokok warisan yang melebihi 50 tahun sebagai tindakan proaktif untuk keselamatan rakyat.
Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias berkata, sebanyak tujuh pokok tua telah dibuat inventori lengkap untuk tindakan susulan sama ada dahan-dahan berisiko ditebang atau ditebang sepenuhnya.
Di MELAKA, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan penebangan pokok yang berisiko tumbang bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku, terutamanya ketika ribut atau angin kencang.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya dikerahkan untuk menilai tahap kesihatan pokok-pokok berusia lebih 10 tahun.
Di ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengarahkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kedah memantau pokok tua dan melakukan penyelenggaraan termasuk menebang atau memangkas dahan yang berisiko.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihaknya akan mengeluarkan satu pekeliling berkaitan perkara itu hari ini untuk diedarkan kepada PBT mengambil tindakan.
“Jumlah pokok-pokok tua di seluruh negeri terutama kawasan bandar sedang dikumpulkan, namun saya akan berbincang dengan pihak terlibat dan mengeluarkan surat arahan supaya semua PBT mengambil tindakan segera,” katanya.
Di KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melantik arborist atau ‘doktor pokok’ untuk membuat pemantauan keselamatan pokok-pokok yang tua dan terlalu matang bagi mengelak sebarang risiko terhadap pengguna jalan raya di kawasan seliaannya. – UTUSAN










