Rosmah didakwa beli beg, barang kemas RM1.64b

Rosmah didakwa beli beg, barang kemas RM1.64b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak-anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah antaranya barang kemas dan beg tangan berjumlah AS$346 juta (RM1.64 bilion) yang dikatakan dibeli menggunakan wang diseleweng dari syarikat berkenaan.

Sebelum ini, Rosmah pernah disaman oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang bernilai RM67.5 juta.

Saman yang difailkan semalam turut menyenaraikan SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.

Beberapa entiti pesisir luar turut disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga 11.

Antaranya ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Hol­dings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Selain Rosmah, turut dinamakan sebagai defendan ialah seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani atau turut dikenali dengan nama Natasha Mirpuri.
Laporan media sebelum ini menyatakan Shabnam merupakan seorang pereka fesyen daripada Singapura dan se­ring membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.

Menurut writ yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kesemua barangan mewah tersebut telah diperoleh Rosmah bukan dengan menggunakan wangnya sendiri tetapi dengan menggunakan dana yang diselewang daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya.

“Dana (yang diseleweng) telah disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 sebelum pembayaran dibuat kepada 48 vendor-vendor luar negara untuk pembelian Barangan Mewah ini. Sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat,” menurut writ tersebut.

Oleh itu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya ­memohon agar Rosmah membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Kesemua plaintif turut memohon perintah agar Shabnam membayar ganti rugi atau pampasan yang akan ditaksirkan kemudian.

Selain itu, plaintif-plaintif turut memohon dekla­rasi plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan-barangan me­wah tersebut yang kini didakwa berada dalam simpanan Rosmah.

Kesemua plaintif turut me­mohon perintah agar Rosmah mengembalikan barangan-barangan mewah itu kepada plaintif pertama hingga keenam.

Turut dimohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.
Menurut semakan sistem mahkamah, kes saman 1MDB dan 10 plaintif lain ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN