SEPANG: Misteri sebuah produk yang terbiar lebih sebulan di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membongkar kes penyeludupan rokok daun.
Perkara itu didedahkan oleh Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Norlela Ismail pada sidang akhbar agensi tersebut, di sini hari ini.
“Kelazimannya jika ada sesuatu barang yang tersadai lama lebih 30 hari, pihak kami akan periksa balik apa kandungan di dalamnya dan dari situ terbongkar kes ini,” jelas beliau.
Rampasan tersebut ujarnya, berjaya dikesan pada 25 April lalu hasil daripada penelitian oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah Unit III (KLIA) agensi berkenaan.
Kes itu tambah beliau, melibatkan rokok jenis beedi (rokok daun) berasal dari rantau Asia Selatan dengan berat kira-kira 823 kilogram (kg) dengan dagangan dianggarkan bernilai RM94,809.60 dengan cukai terlibat sebanyak RM40,743.68.
“Berdasarkan butiran dinyatakan dalam dokumen penerbangan, dagangan ini diikrarkan kononnya sebagai ‘console cargo’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Pengimport juga setelah disemak adalah palsu dan selepas ia ditahan, tiada mana-mana pihak termasuk ejennya hadir bagi menuntut produk tersebut,” jelasnya.
Kes berkenaan tegasnya, disiasat di bawah Peraturan 30(1) Peraturan Zon Bebas 1991 boleh dikenakan hukuman denda yang tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berasingan, Norlela turut memaklumkan pihaknya berjaya menahan dua penumpang lelaki bukan warganegara menyeludup masuk tembakau kunyah seberat 85.2 kg pada 22 April lepas.
“Dua orang ini kemudian ditahan setelah gagal mengemukakan permit sah pengimportan manakala barang kes tersebut telah disita oleh JKDM untuk siasatan lanjut. Nilai barang kes yang disita dianggarkan bernilai RM4,260.00 dan membabitkan duti serta cukai sebanyak RM8,111.04,” jelasnya.










