MELAKA: Sebanyak RM3.17 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Terendak, Sungai Udang di sini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan hidup anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa.
Kata beliau, banyak kediaman di Kem Terendak sudah berusia puluhan tahun malah terdapat unit yang kosong, tidak berada dalam keadaan baik dan tidak sesuai untuk didiami.
“Kita bukan sahaja fokus kepada kesiapsiagaan tetapi juga pada soal kesejahteraan anggota. Salah satunya dengan memberi perhatian kepada penyediaan dan penyelenggaraan rumah.
“Kerja-kerja menaik taraf ini akan dilakukan sendiri oleh ATM yang secara tidak langsung dapat menjimatkan kos dan mengelak berlakunya projek sakit. Saya yakin ia (projek) akan siap sebagaimana yang dirancang.
“Keluasan setiap rumah akan ditambah daripada 1,200 kaki persegi kepada 1,400 kaki persegi. Pertambahan ini akan memberi lebih keselesaan kepada anggota kita dan mereka mampu untuk membina keluarga yang bahagia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra bersama warga Kem Terendak di Wisma Perwira 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT) di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak yang baharu, Mohamed Khaled memberitahu, kerajaan kini sedang di peringkat penilaian tender untuk melantik kontraktor.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan hospital dengan kapasiti 150 katil itu dijangka bermula Julai depan dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.
“Kita berharap supaya ia dapat berjalan mengikut jadual dan jangka masa yang ditetapkan. Kita sekarang di peringkat menilai siapa yang berjaya untuk diberikan projek ini.
“Pada masa sama, kerja merobohkan hospital sedia ada memaksa kita memindahkan beberapa perkhidmatan. Ada yang terpaksa pergi luar kawasan kem manakala ada yang disediakan di bangunan-bangunan sementara,” ujarnya. – UTUSAN










