KOTA BHARU: Tempoh reman ke atas seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan bersama seorang pegawai kanan syarikat bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah melibatkan projek pembekalan disambung tiga hari lagi.
Terdahulu, kedua-dua lelaki itu sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan siasatan.
Perintah lanjutan reman yang bermula esok itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Habri Muhamad di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kedua-dua lelaki itu disambung reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh SPRM mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Sementara itu, seorang pegawai kanan agensi terbabit yang disiasat dalam kes sama dan seorang lagi pegawai disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Individu yang terlibat dalam kes tuntutan palsu itu ditahan pada 30 April lalu ditahan reman selama sembilan hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tiga pegawai kanan agensi kerajaan termasuk pengurus besar syarikat itu berusia antara 40 hingga 49 tahun dicekup pukul 7.30 malam pada 5 Mei lalu semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini.
Mereka ditahan selepas disyaki terbabit meminta dan menerima rasuah daripada beberapa individu atau syarikat bagi pelbagai projek termasuk pembekalan di Kelantan.-UTUSAN










