Rakyat Kelantan diminta teruskan solat sunat istisqa’

Rakyat Kelantan diminta teruskan solat sunat istisqa’

MOHD. Asri Daud semasa ditemui pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggesa rakyat negeri ini meneruskan solat sunat istisqa’ bagi memohon pertolongan Allah supaya menurunkan hujan susulan kemarau dan cuaca panas melampau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, usaha berkenaan masih perlu dilaksanakan setelah ia dilihat mula memberi kesan apabila beberapa kawasan mula hujan.

“Ia masih belum mencukupi, kita mahu supaya hujan lebat turun secara menyeluruh di seluruh negeri.

“Hal ini kerana kita mahu, hujan itu menampung keperluan di muka bumi terutama di kawasan-kawasan kontang yang tanahnya merekah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Asri memberitahu, kerajaan negeri telah meminta solat sunat istisqa’ dilaksanakan di semua jajahan sama ada melalui dakwah halaqat, imam-imam, masjid atau mana-mana pihak seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud sebelum ini.

Katanya, usaha tersebut turut dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di pekarangan Masjid Muhammadi di sini, baru-baru ini.

“Maksudnya semua entiti di negeri ini sudah melaksanakan solat sunat istisqa’. Bahkan ada masjid-masjid serta sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakannya.

“Solat ini perlu dilaksanakan di kawasan lapang dan kita disunat untuk membawa bersama haiwan ternakan seperti kambing dan kambing biri-biri yang boleh dikawal bagi menandakan hujan bukan hanya diperlukan oleh manusia, malah haiwan-haiwan ternakan juga,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, kerajaan negeri serta pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil langkah-langkah perlu dalam berdepan cuaca panas serta kemarau.

“NADMA serta lain-lain agensi sudah berbincang untuk persediaan lengkah berdepan cuaca panas dan kemarau. JBPM juga dilaporkan sudah bermesyuarat semalam untuk bersiap sepenuhnya termasuk menggali telaga tiub bagi mencukupkan bekalan air.

“Masalah dihadapi di negeri ini bukan hanya bekalan air tidak mencukupi, malah air di bawah tanah juga mengalami kekeringan menyebabkan mereka yang menggunakan telaga tiub turut berdepan masalah, paip hanya keluar angin dan air berbau,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN