JOHOR BAHRU: Projek perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Taman Seri Molek Perdana yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu, dijadual siap dan diserahkan kepada pemilik Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, projek `sakit’ itu melibatkan blok rumah pangsa kos sederhana rendah (blok D) dan kos rendah (blok E).
Beliau berkata, kemajuan projek dalam proses akhir teknikal bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sebelum menyerahkan kunci.
“Saya mengucapkan terima kasih atas bantuan semua pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Kerja Raya (JKR) yang selesaikan isu dalam masa dua tahun selepas kontraktor ketiga dilantik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Blok D dan Blok E Taman Seri Molek Perdana, di sini hari ini.
Projek Taman Seri Molek yang terletak di tengah bandar raya ini, sepatutnya siap pada 2012 namun berdepan pelbagai masalah teknikal.
Jumlah keseluruhan kediaman di Fasa 1, 2 dan 3 projek itu adalah sebanyak 972 unit merangkumi rumah pangsa kos sederhana rendah, pangsapuri kos sederhana, rumah pangsa kos rendah dan penthouse.
Mohd. Jafni memberitahu, projek itu mengalami masalah sejak 2019 selepas kontraktor pertama yang dilantik gagal menyiapkan projek terbabit.
Katanya, selepas menamatkan kontraktor pertama, pelantikan kontraktor kedua juga mengambil masa dan berhadapan kekangan kewangan akibat penangguhan kerana pandemik Covid-19.
“Kelewatan projek dengan kos asal RM110 juta disebabkan pelbagai masalah termasuk isu saman-menyaman antara SPNB dan kontraktor terbabit dan kes berkenaan masih lagi belum selesai di mahkamah.
“Kini projek ini disambung oleh kontraktor penyelamat daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ). Apabila masa berjalan, tentu kos barang semakin tinggi dan kos untuk projek kini naik sekali ganda daripada asal.
“Banyak pihak termasuk pembeli tidak faham mengapa ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan. SPNB terpaksa tambah modal yang banyak untuk selesaikan projek ini dan pihak SPNB sudah selesaikan semua projek sakit dan terbengkalai di negeri ini,” katanya. – UTUSAN











